Isnin, November 16, 2009

Generasi Muda Sokong UMNO Tapi Dihalang Sertai Parti

KOTA KINABALU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata adalah tidak benar bahawa generasi muda sekarang tidak menyokong Umno, tetapi mereka sebenarnya menghadapi halangan untuk menyertai parti.

Beliau berkata, ia berikutan ada sesetengah pimpinan peringkat cawangan parti enggan menerima kemasukan generasi muda yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berkelulusan tinggi kerana bimbang kedudukan mereka tergugat.

"Sekarang ini ramai orang Melayu memiliki ijazah dan inilah cabaran kepada ketua-ketua cawangan, mereka takut disingkir dan diganti dengan mereka yang punyai pelajaran lebih tinggi. "Apabila sudah dapat tempat sebagai ketua cawangan, mereka enggan lepaskan. Sebab itu, kalau ada yang ada kelebihan sedikit dari segi kelulusan atau berijazah, tidak dibenar masuk dalam cawangan," katanya pada Majlis Wacana Ilmu anjuran pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Sabah di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, jika dilihat dalam parti pembangkang, Pas, dulu mereka hanya diwakili oleh golongan ulama saja tapi hari ini ada jurutera, doktor dan orang yang berkelulusan tinggi.

Katanya, sehubungan itu, pengganti pimpinan cawangan Umno juga akan menjadi semakin kurang berkebolehan kerana mereka enggan menerima muka baru yang lebih berkebolehan. Ketika menjawab soalan dalam sesi dialog, bekas Perdana Menteri berkata, ada generasi muda yang datang berjumpa dengan beliau dan menyuarakan minat menyertai Umno tapi tidak boleh sebab ada sekatan seperti yang dikatakannya itu.

"Jika mereka kita dampingi, kita dapat terangkan perjuangan Umno. Saya pasti mereka tidak akan jadi pengkritik tidak berasas terhadap Umno.

"Bila mereka (golongan muda) tengok keputusan pilihan raya (umum) 2008, Umno nampak kurang relevan, jadi macam mana nak menyokong. Tapi kalau kita betulkan kesalahan ini, percayalah mereka akan sokong kita semula," tegas beliau.

Dr Mahathir berkata, dilema sekarang adalah penyertaan dalam parti Umno dilihat bukan lagi sebagai perjuangan untuk bangsa dan negara seperti pemimpin terdahulu yang memperjuangkan kemerdekaan negara, tetapi kini lebih kepada untuk menjamin kedudukan mereka dan mendapat kuasa.Katanya, ia juga menyebabkan bermulanya politik wang setiap kali pilihan raya dan pemilihan Umno.

Dr Mahathir berkata, jikalau ada ahli atau pemimpin yang tidak menjalankan tugas dengan baik, maka menjadi tanggungjawabnya untuk menegur mereka. "Jangan sokong orang yang berjuang hanya untuk mengisi periuk nasi mereka. "Kita perlu jaga parti keramat ini, Umno telah bertahan lebih lama daripada lain-lain parti yang berjuang untuk kemerdekaan (negara masing-masing), kalau sayang Umno pastikan ia tidak dibawa ke arah lain dan tidak diguna oleh para pemimpin untuk kepentingan sendiri," tegas beliau.

Beliau memberi contoh parti-parti politik yang berjuang untuk memerdekakan negara mereka seperti di India, Indonesia, Pakistan dan Afrika yang banyak daripadanya tidak wujud lagi atau sudah lemah sekarang, kerana rakyat negara mereka sudah tidak lagi menyokong mereka.

"Mereka lupa janji mereka kepada rakyat, iaitu pemerintahan yang dipimpin mereka akan lebih adil dan lebih bertimbang rasa daripada pemerintahan penjajah. Pada mulanya rakyat masih menyokong, tapi lama-kelamaan rakyat akan sedar mereka tidak lagi mempedulikan nasib rakyat tapi utamakan kedudukan dan kekayaan.

"Maka rakyat akan mula kecewa dan semakin lama semakin kurang sokongan mereka kepada parti yang memperjuangkan kemerdekaan. Akhirnya parti seperti ini akan jadi lumpuh, lemah dan seterusnya hilang," katanya. - Bernama


Komen Bawang :

Tepat sekali seperti yang diperkatakan oleh Tun. Siapa yang berani menafikan? Bawang dan rakan-rakan sendiri pernah merasai susahnya nak menapak dalam arena politik. Dipancung sedari awal, baru hendak menyucuk pokok ke tanah tetapi sudah dipatahkan akarnya.

Bila dipanggil bermesyuarat, agenda yang sering diperkatakan "Oh! Kita mesti tarik pengundi muda. Buat program untuk mereka". Cakap memang senang tapi pelaksanaannya dimana? Secara jujurnya, buat habeh duit ja dok buat program sana sini untuk nak tarik pengundi ni kalau penglibatan golongan ini yang berkemampuan memimpin dan memberi buah fikiran dipancung dan dianaktirikan dari awal kerana takut mereka yang berada diatas hilang kuasa. Dinafikan hak mereka untuk bertanding. Bak kata rakan-rakan rapat, “Undi kita depa mau tapi peluang langsung takmau bagi”.


Ya! Memang benar sekarang ini ramai orang Melayu yang berkelulusan tinggi. Ramai sebenarnya diluar sana yang pengajiannya ditaja, diberi biasiswa mahupun pinjaman kerajaan. Tapi berapa ramai yang berkecimpung dalam politik? Berapa ramai yang berpeluang menyalurkan semula ilmu pengetahuan yang mereka perolehi kepada golongan belia ini? Wahai orang-orang 'diatas,' tarik semula golongan generasi muda ini selepas pengajian. Janganlah dok menyombong dengan menyekat peluang golongan ini dari menyertai parti keramat ini. Takkan selamanya yang 'diatas' akan berada diatas. Kami ini ibarat anak-anak anda.
Berikan tunjuk ajar, curahkan ilmu. Dekatkan mereka dengan UMNO. Beri pendedahan, penerangan dan ilmu tentang hal-hal politik negara. Pastikan pelaburan pinjaman dan biasiswa oleh kerajaan ini tidak lebur di tangan pembangkang. Penat menuai tapi orang lain merasa hasilnya. Satu kerugian bukan?

Buat orang-orang lama kat 'atas' tu... Bukan niat kami nak rampas jawatan.. jauh sekali nak menidakkan kemampuan anda untuk memimpin. Bukan suruh letak jawatan, tapi tanamkan sedikit kepercayaan kepada golongan ini. Bagi peluang. Golongan ‘atas’ dan ‘bawah’ saling memerlukan. Percayalah, UMNO perlukan pembaharuan. UMNO perlu penjenamaan semula. REBRANDING. Supaya UMNO tidak lagi dianggap parti yang tidak relevan. Jangan buat UMNO ni macam hakmilik individu. UMNO bukan hampa punya. Takkan boleh bawak masuk kuboQ pon. Ingatlah, UMNO cemerlang kerana ahli dan pemimpinnya, bukannya berdiri atas pemimpinnya sahaja. Yang penting, UMNO berjuang atas dasar bangsa. Bangsa MELAYU. Bukan individu. Takkan kita sanggup melihat UMNO melingkup disebabkan perangai sesetengah pemimpin yang tak habeh-habeh nak kepit jawatan, tapi habuk pun tarak.

Jangan satu hari nanti.. Melayu sendiri yang mencipta detik kemusnahan Melayu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan